Penunggang motosikal maut, bertembung lori

Penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Astana.

KUCHING, 20 April: Seorang lelaki meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Astana, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Bingkok John berkata kejadian berlaku sekitar jam 7.45 pagi.

Katanya, mangsa berusia 43 tahun semasa kejadian bergerak dari arah bulatan mahkamah menuju ke arah Lorong Petra 1, Jalan Astana.


“Mangsa menunggang motosikal seorang diri dipercayai terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori.

“Akibat kemalangan, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.

Manakala pemandu lori terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily