Penunggang motosikal maut berlanggar dengan Pajero di Jalan Pustaka

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

KUCHING, 19 Nov: Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Mitsubishi Pajero di Jalan Pustaka, di sini sekitar jam 7.30 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata mangsa Fahzrul Shah Abdul Khalik berusia 18 tahun dan berasal dari Kampung Bintawa Batu.

Katanya, mangsa semasa kemalangan tersebut menunggang motosikal seorang diri.


“Setiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan melanggar Pajero tersebut yang dikatakan dalam proses membelok masuk ke sebelah kanan jalan, menyebabkan mangsa cedera parah di kepala.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diperiksa anggota paramedik dari Hospital Umum Sarawak,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya

Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily