SERIAN, Nov 15: Seorang penunggang motosikal terbunuh selepas cubaannya memotong sebuah lori gagal dan sebaliknya berlanggar lori tersebut dalam satu kemalangan di KM 78 Jalan Kuching/Sri Aman semalam.
Perkara tersebut disahkan oleh Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak DSP Bingkok John yang turut memberitahu mangsa dikenali sebagai Helmio Kuling, 26 tahun dan berasal dari Kampung Ensebeng Plaie, Serian.
Menurutnya, semasa kejadian mangsa yang menunggang motosikal tersebut yang turut dibonceng oleh seorang gadis remaja berusia 14 tahun dikatakan cuba memotong lori tersebut dari bahagian kiri menyebabkan mereka berlanggar apabila lori membelok masuk ke satu simpang iaitu sekitar jam 10.30 pagi.
“Kemalangan dipercayai berpunca daripada penunggang motosikal yang cuba memotong lori dari bahagian sebelah kiri semasa lori tersebut sedang membelok masuk ke tapak projek lebuhraya Pan Borneo.
“Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian tangan kiri seeta kecederaan dalaman.
“Manakala pembonceng yang mengalami kecederaan parah di pinggang dan kaki telah dikejarkan ke Hospital Daerah Serian,” kata Bingkok.
Tambahnya siasatan lanjut pihak polis berhubung kejadian masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily