KUCHING, 16 Feb: Seorang lelaki meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala selepas terlibat kemalangan di Jalan Three Hills Park, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata mangsa, 24 tahun semasa kejadian menunggang motosikal seorang diri dari arah Pending menuju ke Jalan Foochow sekitar jam 5.30 petang.
“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila penunggang motosikal (mangsa) yang dari arah Pending telah terbabas ke laluan kereta yang datang dari arah bertentangan.
“Berlaku perlanggaran menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kes masih disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily