Penunggang maut, pembonceng cedera dalam kemalangan di Tanjung Kidurong

Gambar komposit berkaitan kemalangan tersebut.
Advertisement
BINTULU, 22 Jan: Seorang penunggang motosikal meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas terlibat kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Tanjung Kidurong pada Jumaat.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa,33 tahun semasa kejadian menunggang motosikal bersama seorang pembonceng dari arah Bandar Bintulu sekitar jam 6.20 petang.
Katanya, mangsa dipercayaui tidak sempat mengelak lalu berlanggar dengan sebuah Nissan Navara yang dikatakan dalam proses membelok masuk ke simpang Hospital Columbia Asia.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Bintulu sebelum dia disahkan meninggal dunia semasa sedang dirawat di wad kecemasan.
Manakala pembonceng motosikal dilaporkan stabil dan dirawat di Zon Kuning kerana kecederaan patah paha dan kaki kanan.
Sementara pemandu Nissan Navara dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. ― DayakDaily
Advertisement