Penumpang van maut angkara kecuaian pemandu kenderaan lain

Anggota bomba sedang berusaha mengeluarkan mangsa dari dalam van.

SRI AMAN: Cubaan mengelak dari melanggar sebuah kenderaan lain menyebabkan sebuah van terbabas sehingga menyebabkan seorang penumpangnya maut dalam satu kemalangan di Kilometer 64 Jalan Sri Aman-Kuching semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak DSP Bingkok John berkata kemalangan berlaku sekitar jam 9.40 pagi ketika van tersebut dalam perjalanan menuju ke Sri Aman.

Menurut Bingkok, setiba di tempat kejadian dikatakan sebuah kenderaan lain telah memasuki laluan van berkenaan menyebabkan pemandunya terpaksa mengelak ke arah kiri bahu jalan lalu terbabas.

“Akibat daripada kejadian tersebut menyebabkan penumpang hadapan van maut di tempat kejadian yang disahkan oleh anggota paramedik Bomba Serian,” katanya.

Mangsa yang meninggal dunia ialah Edmund Mangoi anak Budin berusia 49 tahun dan berasal dari Rumah Randi, Entanak, Betong.


Kes tersebut masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Share this article!