Dua terbunuh dalam nahas jalan raya

Glass shards. - DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

SERIAN: Dua orang terbunuh akibat kecederaan parah semasa menerima rawatan di Hospital Serian, di sini selepas terlibat kemalangan di Kilometer 80 Jalan Kuching-Sri Aman malam Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata, mangsa pertama Bea Bianca berusia 12 tahun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Serian, manakala seorang lagi mangsa dikenali sebagai Nengi, 36 sekitar pagi semalam.

Difahamkan kemalangan berlaku apabila kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa bersama dua lagi penumpang berusia berusia 11 dan 15 tahun tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sekitar jam 7.30 malam Sabtu lepas.


“Apabila tiba di tempat kejadian di suatu selekoh, sebuah kereta (mangsa) yang datang dari arah bertentangan telah memasuki laluan sebuah lori yang bergerak lurus sehingga berlakunya perlanggaran.

“Pemandu serta penumpang kereta dibawa ke Hospital Serian untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum seorang daripada penumpang (Bea) disahkan meninggal dunia.

“Difahamkan pemandu kereta (Nengi) telah meninggal dunja semasa menerima rawatan sekitar jam 3 pagi tadi (semalam),” katanya.

Kes tersebut masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.