Penumpang kereta maut akibat dirempuh dari arah bertentangan

Keadaan kereta yang dinaiki mangsa remuk akibat dirempuh.

SIBU: Seorang lelaki terbunuh selepas kereta yang dinaikinya dirempuh sebuah kereta yang dipercayai hilang kawalan lalu terbabas di Jalan Tun Abang Haji Openg, di sini malam tadi.

Mangsa ialah Mohd Rhaziq Mazlan berusia 20 tahun.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Sarawak DSP Bingkok John memberitahu kemalangan berlaku sekitar jam 9.30 malam apabila kereta yang datang dari arah kawasan lampu isyarat Delta menuju ke pusat bandar terbabas ke laluan bertentangan.


“Kereta tersebut terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh sebuah kereta menyebabkan penumpang hadapan (Rhaziq) cedera parah dan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Sibu.

“Justeru, pemandu kereta yang terbabas telah ditahan polis untuk siasatan,” katanya di sini sebentar tadi.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 112 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.