Penubuhan SRDA bakal perkasa industri pelancongan di selatan Sarawak

Dr Abdul Rahman (tengah), Jamilah (kiri) dan Dr Hazland (kanan) ketika sidang media di DUN Sarawak hari ini (13 Nov, 2020).

Oleh Cornelius Kadir Edison

KUCHING, 13 Nov: Agensi Pembangunan Wilayah Selatan (SRDA) dicadang untuk diwujudkan bagi merancakkan lagi pembangunan sektor industri pelancongan di bahagian selatan Sarawak.

Cadangan tersebut disuarakan secara bersama oleh Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, ADUN Tanjong Datu Datuk Amar Jamilah Anu dan ADUN Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni pada sidang media di DUN hari ini.


Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) berkata, penubuhan agensi terbabit penting memandangkan kawasan Telok Melano di kawasan DUN Tanjung Datu,  Telaga Air dalam DUN Pantai Damai dan hingga ke Telok Embang dalam DUN Demak Laut berada dalam lingkaran pelancongan wilayah selatan Sarawak.

“Kami bertiga telah pun berbincang untuk mengaktifkan cadangan tersebut dengan bentuk yang lebih komprenhensif dan lebih teratur berbentuk sebuah agensi pembangunan.

“Ia juga merupakan usaha untuk membangukan industri pelancongan di kawasan ketiga-tiga DUN terbabait memandangkan kawasan tersebut iaitu Pantai Damai, Demak Laut dan Tanjung Datu merupakan satu kawasan yang dikenal pasti memiliki keindahan alam dan antara kawasan tumpuan sektor pelancongan Sarawak ,” katanya.

Menurut Dr Abdul Rahman penubuhan SRDA juga akan menglengkap senarai agensi pembangunan yang ditubuhkan di Sarawak  yang sebelum ini yang telah pun memiliki Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) dan Kawasan Pembangunan Sri Aman (SADA).

Katanya, sebagai pemulaan fokus pembangunan di bawah SRDA adalah kepada sektor pelancongan berteraskan alam semulajadi, marin, kesihatan, arkeologikal, pendidikan serta bidang pertanian.

“Jangka masa yang kita cadangkan adalah antara lima hingga 10 tahun, jadi kita harap kalau boleh ia bermula pada rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan seperti mana yang kita mahukan, ia bermula seawal tahun hadapan hingga sepanjang RMK-12 .

“Jadi apabila kita berada di penghujung RMK-12 semuanya telah matang , semua kemudahan telahpun disediakan dan industri pelancongan di kawasan ini akan terus maju,” katanya.

Sementara itu Jamilah yang menyokong cadangan tersebut berkata banyak produk pelancongan yang boleh ditawarkan di kawasan terbabit namun kemudahan untuk pelawat perlu disediakan dengan baik.

Manakala Dr Hazland pula berkata penubuhan SRDA pastinya akan menumpukan dan memberikan fokus kepada pembangunan sektor perlancongan yang menjadi kelebihan kepada ketiga-tiga kawasan DUN terbabit.

“Ketiga-tiga kawasan DUN ini dihubungkan oleh laluan jalan pesisir yang bermula dari Telok Melano terus ke Lundu, Santubong, Buntal  dan terus ke Bako dan ini akan memudahkan usaha pembangunan khususnya melibatkan sektor pelancongan,” katanya. — DayakDaily