KUCHING, Sept 29: Penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dari perspektif politik mampu merosakkan keharmonian masyarakat kampung dan rumah panjang di seluruh Sarawak.
Pengerusi Majlis Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (MJKK) Skim Sekuau, Henry Kayan berkata jika agenda penubuhan menjurus untuk memperkasakan jentera Pakatan Harapan (PH) ketika pilihanraya, maka ia menggunakan kuasa persekutuan sebagai mana pemerintahan kolonial.
“Cuma bezanya, idea ini datang dari rakyat Sarawak sendiri yang ingin berkuasa dari Pakatan Harapan.
“Ini dapat diperhatikan kelak, yang MPKK hanya lebih aktif ketika dekat pilihanraya,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Tambah Henry dari, perspektif pentadbiran, MPKK mempunyai peranan yang sama seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
“Sekiranya MPKK ditubuhkan dan dijalankan secara ikhlas untuk membantu memperkasakan kehidupan komuniti di kampung di Sarawak, ia mampu memberi memberi impak positif, menambahkan kekuatan JKKK yang sedia ada,” ujar Henry.
Katanya, tanggungjawab untuk menyebarkan maklumat berkenaan polisi atau projek dari kerajaan pusat dapat dilakukan melalui pegawai kerajaan yang sedia ada iatu di bawah kementerian seperti pendidikan, kesihatan, buruh, penerangan dan banyak lagi.
Berkaitan isu yang sama, Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen pada sidang media hari ini memaklumkan yang ahli MPKK akan diumumkan pada November ini. — DayakDaily