Ahli-ahli MPKK bakal dilantik pada November, kata Chong

Chong (duduk tiga dari kiri) bersama pemimpin PH yang lain pada sidang media di Ibu Pejabat DAP Sarawak di Kuching hari ini (Sept 29, 2019).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Sept 29: Ahli-ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di lebih 5,900 perkampungan dan rumah panjang di Sarawak akan dilantik pada November 2019.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen berkata senarai awal bakal diumumkan pada penghujung bulan Oktober dan perlantikan akan dibuat pada November.


“Dengan perlantikan tersebut, kita berharap program dan inisiatif untuk kebaikan penduduk di luar bandar boleh bermula pada Disember atau seawal Januari 2020.

“Setiap MPKK diwakili seorang pengerusi, setiausaha dan 11 ahli dimana setiap MPKK akan diberi geran tahunan sejumlah RM10,000 untuk mengadakan aktiviti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat DAP Sarawak di sini yang turut dihadiri pemimpin-pemimpin PH yang lain.

Chong yang juga pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak yakin dengan wujudnya MPKK, program-program seperti My Salam, i-Suri, geran untuk usahawan dan inisiatif lain boleh dinikmati penduduk luar bandar.

Katanya, perlantikan MPKK di Sarawak oleh kerajaan persekutuan bertujuan memudahkan komunikasi dan perlaksanaan projek bagi kebaikan rakyat khususnya di kawasan pendalaman dan luar bandar.

Justeru beliau mempertikaikan tindakan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang membantah perlantik MPKK di negeri ini.

“Saya minta GPS agar tidak risau dengan perlantikan MPKK ini. Ia adalah untuk kebaikan penduduk di luar bandar.

“MPKK bukan untuk menggantikan ketua kampung atau tuai rumah,” katanya yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Tambah beliau lagi, pelbagai inisiatif dan program PH tidak dapat dilaksanakan secara berkesan dan maklumat tidak dapat disampaikan kepada rakyat khususnya di luar bnadar.

Dakwa Chong, keadaan itu berpunca daripada sabotaj dan tiada kerjasama dari kerajaan negeri GPS.

Menurut beliau, senarai nama ahli-ahli di setiap MPKK akan diserahkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk kelulusan. — DayakDaily