Penjenayah tegar gagal lolos, JSJ Miri berhasil menahan suspek dalam Ops Rentap

Suspek (empat dari kiri, barisan hadapan) ditahan pihak JSJ Miri selepas aksi kejar mengejar di kawasan Morsjaya semalam. Turut dirampas sebuah motosikal jenis Honda berwarna putih.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 11 Nov: Anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri pada petang Rabu (10 Nov) berjaya menahan seorang peragut tegar yang mempunyai lapan rekod jenayah lampau di daerah ini dan Bintulu.

Tangkapan berjaya dilakukan hasil maklumat risikan JSJ terhadap suspek berusia 39 tahun itu semasa Ops Rentap sekitar jam 6 petang di sebuah stesen minyak Morsjaya Jalan Lambir-Miri selepas aksi kejar mengejar.


Difahamkan, suspek mempunyai beberapa rekod kes jenayah ragut di Bintulu dan Miri sebelum berjaya ditahan JSJ Miri semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, kejayaan tangkapan ini susulan laporan dan maklumat kes ragut yang berlaku pada 4 November berhampiran sebuah pasar raya di Luak Tanjong Lobang.

Dalam kejadian, mangsa, seorang wanita berusia 28 tahun telah diragut rantai lehernya ketika sedang berjalan keluar dari bangunan pasar raya tersebut oleh suspek yang menunggang sebuah motosikal jenis Honda berwarna putih.

Kerugian dianggarkan RM1,200.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompak yang memperuntukan hukuman penjara selama temph sehingga 14 tahun dan sebat atau denda. — DayakDaily