Penjawat awam wanita lesap wang RM90,000

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

MIRI, Nov 28: Seorang penjawat awam wanita terpaksa berputih mata selepas kerugian RM 90,000 akibat terpedaya dengan sindiket ‘Macau scam’.

Kejadian yang menimpa mangsa yang berusia 32 tahun itu dilaporkan berlaku antara November 23 hingga 27 lepas.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan telah menerima panggilan daripada individu yang tidak dikenali memberitahu mangsa didakwa di atas kes langgar lari pada November 20 lalu.

Katanya, kemudian, talian telefon disambungkan dengan seorang lagi individu kononnya anggota polis berpangkat Inspektor yang seterusnya meminta nombor kad pengenalan mangsa.

“Suspek itu kemudian mengatakan mangsa telah terlibat dalam wang haram di 23 akaun bank Sabah dan waran tangkap ke atas mangsa telah dikeluarkan.

“Waran tangkap yang dikatakan telah dikeluarkan sudah dihantar kepada mangsa melalui WhatsApp nombor 011-25113846,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mustafa menambah, selepas itu talian telefon disambungkan kepada kononnya Inspektor Puan Mariam yang menggunakan talian 011-25114037 untuk menguruskan kes mangsa.

Jelasnya, suspek itu kemudian mengatakan oleh kerana bank tidak dapat memantau akaun mangsa, mangsa diminta memindahkan wang sejumlah RM90,000 ke Bank Rakyat atas nama Tan Chee Kee pada November 27 lepas (semalam).

“Mangsa juga dikehendaki memindahkan berjumlah RM50,000 ke akaun CIMB Bank atas nama Gerald Lian Dominic Cheng atau akaun atas nama Rudy.

“Suspek juga meminta mangsa memberitahu pihak bank tujuan wang dipindahkan ke akaun tersebut untuk membeli tanah.

“Mangsa juga tidak dibenarkan memberitahu sesiapa termasuk ahli keluarga perkara itu kerana akan mengganggu pegawai polis menjalankan siasatan jenayah,” katanya.

Tambah Mustafa, mangsa yang mula menyedari dirinya telah ditipu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya. — DayakDaily