Oleh Dean Adam
BINTULU, Nov 29: Seorang penjawat awam kerugian kira-kira RM23,056 akibat terperdaya dengan kes ‘Macau scam’.
Kejadian yang menimpa lelaki berusia 53 tahun itu dilaporkan berlaku November 26 lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan telah menerima pesanan ringkas menerusi WhatsApp menggunakan nombor 0127270725 yang memperkenalkan diri sebagai Mr. Tiong dari Maybank AQM Kuching.
Jelas beliau, suspek kemudian mengatakan mangsa belum menjelaskan baki tunggakan bayaran pinjaman rumah sebanyak RM4,400.00.
“Namun, mangsa berasa hairan kerana sepanjang Ogos dan September lepas dia juga telah menerima panggilan telefon daripada seorang wanita mengenai hal yang sama.
“Sepanjang Ogos dan September lepas, mangsa telah membuat enam transaksi berbeza jumlah untuk membayar tunggakan tersebut ke satu akaun Maybank atas nama Lee Gin Choo,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mustafa menambah, jumlah semua transaksi yang telah dimasukkan oleh mangsa ke dalam akaun suspek sebelum ini adalah sebanyak RM23,056.
Katanya, mangsa mula mengesyaki dirinya telah ditipu oleh suspek sebelum dia membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.
“Buat masa ini, kes berkenaan masih lagi dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily