Gempar lima lori terbakar

Pasukan bomba berusaha memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Nov 29: Pengguna jalan raya yang melalui Jalan Kemena Industrial Estate di sini gempar dengan satu kejadian lima buah lori terbakar, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 4.25 pagi itu, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Mostapa Wasli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran berkenaan pada pukul 4.26 pagi.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.


“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar kelima-lima buah lori jenis lima tan yang diletakkan di kawasan terbuka sebuah kilang di situ.

“Bangunan kilang itu bagaimanapun tidak terjejas akibat kebakaran kenderaan berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Mostapa menambah, kebakaran berkenaan telah mengakibatkan dua buah lori musnah 70 peratus.

Manakala katanya, dua buah lori lagi musnah 50 peratus dan sebuah lori musnah 10 peratus.

“Pasukan bomba telah menggunakan satu aliran bantu mula serta buih bagi mengawal dan memadam kebakaran tersebut.

“Operasi memadam kebakaran lima kenderaan itu tamat sepenuhnya pada pukul 5.30 pagi,” katanya. — DayakDaily