Penjawat awam digesa tanamkan semangat patriotik dan cintakan negara

Norizan (depan, kiri) ketika melakukan simbolik penyerahan Jalur Gemilang.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Ogos 27: Pejawat awam diseru dalam usaha membimbing dan mempupuk semangat patriotik serta membentuk jati diri unggul bagi mewujudkan generasi yang memiliki jiwa nasionalisme tinggi.

Timbalan Setiausaha Persekutuan Sarawak Norizan Jili berkata, setiap pejawat awam haruslah mempunyai rasa tanggungjawab dalam menunaikan amanah serta fokus terhadap mutu kerja dengan memperbaiki kekurangan sedia ada demi masa depan negara yang lebih cemerlang.


“Meskipun Malaysia sudah menjangkau 62 tahun bebas dari genggaman penjajah, namun masih terdapat sebilangan pihak yang tidak bertanggungjawab menimbulkan isu-isu sensitif perkauman,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan pelancaran Program Kibar Jalur Gemilang di Wisma Persekutuan Kota Samarahan, hari ini.

Norizan menambah, rakyat Malaysia keseluruhannya menolak fahaman tersebut dan tetap berpegang kepada prinsip bertolak ansur dan hormat menghormati.

Sementara itu katanya, sebanyak 15 buah kenderaan daripada 11 agensi turut serta semasa konvoi kempen Kibar Jalur Gemilang itu.

“Antaranya Jabatan Pergigian, Jabatan Perpaduan Negara, Jabatan KEMAS, Jabatan Belia dan Sukan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Imigresen, Jabatan Pendaftaran, Angkatan Pertahanan Awam, RELA, Ambang Wira dan Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Samarahan.

“Konvoi dengan jarak kira-kira 17 kilometer ini telah bermula dari Perkarangan Pejabat Wisma Persekutuan Kota Samarahan mengelilingi Daerah Samarahan sebelum kembali semula ke Pejabat Wisma Persekutuan Kota Samarahan,” katanya.

Program tersebut merupakan aktiviti tahunan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia dengan kerjasama jabatan dan agensi persekutuan Kota Samarahan dan dihadiri lebih kurang 120 orang. Ia bertujuan untuk menggalakkan orang ramai dan pelbagai agensi untuk mengibarkan Jalur Gemilang sama ada di kenderaan, rumah, bangunan kerajaan dan premis-premis perniagaan sepanjang Bulan Kebangsaan. — DayakDaily