Oleh Dean Adam
BAU, Dis 7: Kumpulan penjaja yang menjual hasil tani di kawasan kaki lima dengan hanya menggunakan kanopi di sini bakal mendapat tapak gerai yang baharu tidak lama lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep, berkata penyediaan gerai penjaja yang baharu bakal membolehkan para penjaja memasarkan hasil jualan mereka dengan kemas.
Menurutnya, dianggarkan 30 orang penjaja menjual hasil tani hanya dengan menggunakan kanopi kecil dan dalam keadaan berselerak sejak dua tahun lalu.
“Setelah lebih dua tahun penjaja hasil tani berjaja dengan hanya menggunakan kanopi kecil dan berselerak, kini tempat tersebut akan bertukar wajah.
“Selepas mendengar rintihan daripada penjaja di situ, saya dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Majlis Daerah Bau telah mengambil inisiatif untuk menaiktaraf gerai penjaja dengan membina gerai yang lebih kukuh, tersusun dan bersih,” katanya selepas Majlis Penyerahan Farmer’s Market Bau di sini hari ini.
Henry menambah, kos pembinaan gerai baharu tersebut akan menggunakan dana dari
geran projek kecil luar bandar (MRP).
Katanya, ia adalah bagi menjamin keselesaan dan keselamatan kumpulan penjaja di situ.
“Kita tidak mempunyai pilihan lain selain menyediakan gerai baharu selain lokasi yang lebih sesuai kepada mereka untuk menjana dan pendapatan menerusi hasil jualan hasil tani,” jelasnya lagi. — DayakDaily