Peniaga rugi RM30,000 akibat terpedaya ‘Macau Scam’

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

MIRI, Nov 23: Seorang peniaga kerugian sebanyak RM30,000 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan’Macau Scam’.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku semalam melibatkan lelaki berusia 29 tahun.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata berdasarkan laporan diterima, mangsa mengatakan telah menerima panggilan daripada seorang lelaki kononnya seorang anggota polis.

Katanya, suspek kemudian memberitahu terdapat saman di atas nama mangsa membabitkan kes langgar lari di Simpang 4 Johor Jaya pada 19 Nov lepas.

“Bagaimanapun, mangsa menafikan terlibat dengan kes berkenaan kerana dia berada di Miri pada tarikh tersebut.

“Setelah itu, mangsa kemudian disuruh untuk menghubungi Balai Polis Johor Bahru pada talian 07-3532124 untuk buat siasatan bahawa maklumat peribadi mangsa telah dipakai oleh orang lain,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, mangsa kemudian telah diberitahu oleh suspek bahawa telah terlibat  dalam kes pengubahan duit haram dan jualan dadah sejumlah RM2.28 juta.

Katanya, suspek kemudian meminta mangsa untuk membuat rayuan untuk membersih nama baik dirinya.

“Suspek juga memberitahu mangsa yang waran tangkapan sudah dikeluarkan dan mangsa akan ditangkap jika tidak mengikut arahan mereka.

“Mangsa kemudian memindahkan wang dari akaun Maybank miliknya ke akaun Bank Kerjasama Rakyat Malaysia atas nama Nur Aeffariesha sebanyak RM30,000,” katanya.

Jelas Mustafa, mangsa mula menyedari dirinya telah ditipu apabila suspek meminta mangsa memasukkan wang lagi ke dalam akaun sama.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily