Tiga individu dicekup disyaki edar dadah

Kelihatan dadah yang dirampas polis daripada suspek.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Nov 23: Tiga individu termasuk seorang wanita dicekup selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di Jalan Masjid di sini.

Ketiga-tiga suspek yang berumur antara 25 hingga 30 tahun itu diberkas oleh pasukan polis pada pukul 10.20 pagi, semalam.


Ketua Polis Daerah Bintulu Supt Zulkipli Suhaili berkata kejayaan operasi berkenaan adalah hasil maklumat awam dan risikan yang dilakukan sebelum itu.

Jelasnya, semasa serbuan itu, pasukan polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 7.2 gram daripada kesemua suspek.

“Penemuan dadah tersebut merupakan hasil daripada yang dilakukan ke atas sebuah kereta yang dinaiki suspek.

“Tindakan mereka menyembunyikan dadah itu di bawah tempat duduk ternyata tidak berhasil mengaburi pihak polis apabila bahan larangan berkenaan ditemui,” katanya di sini hari ini.

Tambah Zulkipli, selain itu, pihak polis turut merampas wang tunai berjumlah RM2,336 daripada semua suspek.

Katanya, wang itu dipercayai hasil daripada kegiatan pengedaran dadah berkenaan.

“Ujian kencing yang dilakukan juga mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya. — DayakDaily