Peniaga kecil, penjaja boleh mohon permit untuk dapatkan geran khas RM1,500 di bawah BKSS 6.0

Peniaga dan penjaja boleh memohon permit untuk mendapat geran khas RM1,500. Foto Fail

Oleh Nur Ashikin Louis

KUCHING, 4 Jun: Peniaga kecil dan penjaja baharu yang tidak berlesen atau sementara kini boleh memohon permit mulai 1 sehingga 30 Jun tahun ini bagi melayakkan mereka untuk mendapat geran khas RM1,500 di bawah pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 6.0).

Bagi peniaga kecil dan penjaja yang sudah berlesen, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak (MLGH) memberitahu bahawa mereka tidak perlu memohon semula permit tersebut, tetapi diminta untuk mengemaskini status akaun SarawakPay mereka kerana pembayaran akan disalurkan melalui aplikasi mobil terbabit.


Kriteria pemohon yang layak termasuklah pengendali gerai makanan, kedai ‘lock up’, pasar, kedai kampung, kedai gunting rambut dan pemilik kantin individu.

Mereka boleh mengemukakan permohonan melalui platform dalam talian (https://community-service.sarawak.gov.my) atau menerusi permohonan manual dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Tempoh sah permit adalah dari bulan Jun hingga November 2021, tanpa sebarang bayaran permit sebanyak RM30 dikenakan sepanjang tempoh sah ini.

Untuk kriteria tambahan untuk memenuhi syarat geran khas itu, Kementerian memberitahu pemohon mestilah orang Sarawak yang menetap dan berniaga di dalam negeri dan berumur 18 tahun ke atas.

“Pemohon mestilah peniaga-peniaga yang benar-benar menjalankan aktiviti perniagaan secara fizikal seperti menjalankan perniagaan menggunakan gerai/kiosk/gerai di bahu jalan sebelum 1 Jun 2021.

“Gerai yang beroperasi di dalam kedai kopi adalah layak memohon dengan melampirkan dokumen pengesahan berkaitan dengan perniagaan. Perniagaan atas talian pula adalah tidak layak memohon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, PBT berhak untuk tidak mengeluarkan atau membatalkan permit tersebut sekiranya terdapat maklumat palsu, tidak benar atau tidak tepat yang diberikan oleh pemohon.

Setelah permit dikeluarkan, peniaga kecil dan penjaja termasuk yang sedia ada akan dibayar sejumlah RM1,500 dalam dua fasa, dengan RM750 pertama pada bulan Julai dan RM750 kedua pada bulan Disember 2021. — DayakDaily