Pusat Komersil Serikin dirasmi 25 Julai, rancakkan semula aktiviti ekonomi

Harry (tiga dari kiri) bersama tetamu di Majlis Penangguhan Gawai Serikin.

Oleh Chris Bishop

SERIKIN, 7 Jun: Pusat Komersil Serikin yang dijadual dirasmikan pada 25 Julai ini bakal merancakkan semula aktiviti ekonomi rentas sempadan di Serikin, Bau.

Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Henry Harry Jinep, pusat tersebut menyediakan ruang yang selesa kepada usahawan tempatan untuk melakukan aktiviti perniagaan.


ā€œIni akan menjadikan Serikin sebagai sebuah kawasan perniagaan yang agresif dan bersedia untuk menerima kedatangan pengunjung tempatan dan antarabangsa khususnya dari Kalimantan, Indonesia,ā€ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penangguhan Gawai Serikin 2022 di Pusat Komersil Serikin di Bau pada semalam.

Pusat Komersil Serikin bakal dirasmi 25 Julai ini.

Tambah Harry yang juga Adun Tasik Biru, peniaga-peniaga di sekitar Serikin kini telah membuka semula perniagaan mereka setelah terpaksa tutup selama lebih 2 tahun akibat pandemik Covid-19.

Katanya, pengunjung khususnya dari Kuching juga telah mula datang ke pasar Serikin yang satu ketika dahulu menjadi tumpuan ramai setiap hujung minggu.

Serikin bukan sahaja menjadi pilihan penduduk tempatan malah ia juga antara destinasi wajib dikunjungi pelancong khususnya dari Semenanjung yang bercuti di Bandaraya Kuching.

Terletak kira-kira 60 km dari Kuching, Pasar Serikin menjual pelbagai barangan seperti pakaian, kasut, beg, perabot, tikar rotan termasuk buah-buahan serta sayuran.

Terdahulu dalam ucapannya, Harry mengajak seluruh penduduk Serikin termasuk golongan belia untuk bersama-sama memajukan Pusat Komersil Serikin.

ā€œTeruskan usaha untuk memajukan Serikin supaya menjadi satu kawasan aktiviti ekonomi yang aktif di daerah Bau .

ā€œApabila sempadan antarabangsa di sini dibuka nanti, kita harap aktiviti ekonomi terus berkembang supaya rakyat di sini dan di Kalimantan sama-sama menikmati manfaatnya,ā€ kata Harry.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa Motocross Fun Race akan dianjurkan di Serikin pada 30 dan 31 Julai ini.

Pusat Komersil Serikin yang dibangunkan usahawan tempatan Asen Angaw (Aaang Buieh Enterprise) menyediakan 14 unit kedai dan satu pentas terbuka turut dibina bagi penganjuran pelbagai acara. ā€” DayakDaily