Peniaga gerai makanan di kompleks Kubah Ria gembira dengan rezeki di bulan Ramadan

Peniaga gerai yang beroperasi di kompleks Kubah Ria.

KUCHING, April 26: Ramai peniaga gerai yang beroperasi di kompleks Kubah Ria berasa gembira dengan sambutan yang mengalakkan dari pelanggan setia mereka di bulan Ramadan.

Menurut satu kenyataan media, walaupun terpaksa akur dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) yang membenarkan para peniaga berurusan pada waktu yang terhad namun mereka masih bersyukur dengan sambutan yang mengalakkan terutama daripada pelanggan tetap yang sanggup menempah pelbagai juadah kegemaran melalui dalam talian dan panggilan telefon.

Antara peniaga disitu ialah Hamimah Kelas, bersama suami, Ismadi Razali yang masih menjalankan perniagaan sepanjang tempoh PKP dengan bantuan anak-anak mereka, Siti Basirah, 28, dan Siti Amirah, 25.


Jelasnya, walaupun kemeriahan suasana di gerai-gerai tidak seperti dulu lagi namun beliau sekeluarga terpaksa meneruskan perniagaan jualan nasi campur dan lauk secara sederhana dan dalam talian demi mematuhi arahan PKP yang telah berkuatkuasa pada Mac 18 lalu.

“Meskipun jualan harian memang kurang berbanding sebelum pelaksanaa PKP tapi ianya cukup untuk menampung perbelanjaan perniagaan dan membantu pendapatan keluarga kami,” kata Hamimah yang berusia 48 dan telah menjalankan perniagaan di Kubah Ria selama beberapa tahun.

Beliau turut berterima kasih dengan adanya skim Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) oleh kerajaan negeri yang turut meringankan beban peniaga kecil dan sederhana (PKS) terutama dalam pelepasan dari membayar premis perniagaan selama enam bulan sehingga September tahun ini.

Peniaga gerai yang beroperasi di kompleks Kubah Ria.

Seorang lagi peniaga di Kompleks Kubah Ria iaitu Suziayanah Abdullah yang terkenal dengan masakan Mee Bandung Muar beliau, turut menyuarakan rasa syukur di atas pelepasan dari membayar sewa gerai yang dimiliki dan ditadbir urus oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sarawak (SEDC Sarawak).

“Dengan bantuan seperti ini, peniaga kecil seperti kami boleh bernafas lega kerana ianya meringankan sebahagian daripada beban kos yang terpaksa ditanggung sepanjang tempoh PKP dilaksana,” kata beliau yang telah berniaga di Kubah Ria semenjak tahun 2010.

Beliau bersama suami, Rosman Yatim, 58, menjalankan perniagaan seminggu selepas diberi kebenaran oleh pihak kerajaan untuk berbuat demikian.

Bagi Nuur Afikah Ramlee, 28 tahun, beliau bersama suami terpaksa bekerja tanpa pekerja mereka demi menjimatkan kos dan bantuan yang diberikan dalam pakej BKSS dalam pelepasan pembayaran sewa amatlah dialu alukan.

“Kami berdua terpaksa berniaga tanpa bantuan pekerja kerana pelanggan tidak ramai dan jenis jualan makanan terhad pada yang ditempah dalam talian terutama daripada pelanggan tetap kami,” kata Nuur yang berasal daripada Limbang dan telah tiga tahun berniaga di Kompleks Kubah Ria.

Peniaga gerai yang beroperasi di kompleks Kubah Ria.

Bagi peniaga nasi lemak terkenal di Kubah Ria, Zaini Apen dan isteri Engku Aida Al Karim, mereka berdua bersyukur dengan bantuan khas yang diberi pihak kerajaan kepada peniaga kecil yang menghadapi cabaran untuk terus berniaga sepanjang tempoh PKP ini.

Zaini yang berusia 44 tahun dan sudah masuk 10 tahun berniaga “Nasi Lemak Ganja” di Kompleks Kubah Ria melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan negeri yang telah memberi “talian hayat” kepada peniaga kecil seperti beliau yang berdepan masa depan yang mencabar terutama dalam menampung kos perniagaan seperti pembayaran gaji pekerja dan sambutan pelanggan.

Setakat ini beliau bersyukur kerana terdapat ramai pelanggan tetap beliau yang masih memberi sambutan yang mengalakkan dan ada yang menempah melalui dalam talian dimana penghantaran ialah melalui aplikasi GrabFood, FoodPanda dan Helpy.

Sementara itu, SEDC Sarawak telah bersedia untuk memberi pelepasan bayaran sewa kepada para peniaga yang menyewa gerai-gerai dan premis perniagaan dibawah pengurusannya diseluruh negeri Sarawak.

Menurut pengurus besar Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir, jumlah keseluruhan pelepasan sewa yang diberikan untuk tempoh enam bulan sehingga bulan September depan.

“Bantuan yang diberikan itu akan menjamin para peniaga dibawah skim keusahawanan SEDC Sarawak akan serba sedikit dapat bertahan sehingga tempoh PKP dilaksanakan dan selepas ianya tamat.

“Selain daripada itu, SEDC Sarawak turut menyeru para usahawan tempatan untuk memohon Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) I dan II yang telah disediakan oleh kerajaan menegeri Sarawak yang dibuka permohonannya bermula 1 April lalu. Mereka yang berminat boleh mengisi borang permohonan yang boleh dimuat turun di laman sesawang SEDC Sarawak,” kata beliau.

Peniaga gerai yang beroperasi di kompleks Kubah Ria.

Dibawah SKMS, kesemua pengusaha PKS tempatan sama ada Bumiputera atau bukan Bumiputera boleh menghantar permohonan dimana kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi pelaksanaan skim ini dan jumlahnya telah ditambah sebanyak RM20 juta disebabkan oleh rasa keprihatinan terhadap nasib para usahawan yang terjejas oleh penularan wabak Covid-19.

Di bawah SKMS I, pihak kerajaan telah menyediakan pinjaman atau pembiayaan dari RM1,000 sehingga RM10,000 dengan tanpa kadar faedah atau kadar keuntungan kepada golongan usahawan B40.

Dibawah SKMS II pula, peniaga yang berminat boleh memohon pinjaman atau pembiayaan dari RM5,000 hingga RM50,000 dengan kadar faedah atau kadar keuntungan sebanyak empat peratus berdasarkan baki bulanan berkurangan kepada usahawan mikro dan kecil.

Kerajaan Sarawak juga membenarkan penangguhan bayaran balik selama enam bulan iaitu dari April hingga September untuk peminjam-peminjam skim ini sebagai langkah baik untuk meringankan beban kewangan PKS.

Pada masa sama, kerajaan negeri Sarawak telah pun mengumumkan penangguhan pembayaran balik selama enam bulan bagi peminjam Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) dan ia akan memberi manfaat kepada seramai peminjam. — DayakDaily