Oleh Dean Adam
SPAOH, Feb 4: Sambutan Tahun Baru Cina tahun ini pasti sukar dilupakan oleh para peniaga di Pasar Spaoh apabila premis perniagaan mereka musnah terbakar, tengah hari tadi.
Difahamkan, kejadian kira-kira pukul 12.38 tengah hari itu telah memusnahkan 100 peratus lapan unit kedai di pasar berkenaan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, Vincent Baling Yabi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 12.40 tengah hari.
Jelasnya, sejurus itu, sepasukan tujuh anggota bomba dari BBP Betong bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.
“Pasukan bomba dari BBP Saratok juga bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu operasi berkenaan.
“Sejurus itu, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar sederet bangunan kedai di situ sebelum operasi memadam kebakaran segera dilakukan,” katanya di sini hari ini.
Vincent menambah, difahamkan setakat ini tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
Katanya, maklumat terkini berhubung kejadian itu akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian juga masih dalam proses siasatan,” ujarnya. ā DayakDaily