Tanah runtuh, tiga keluarga berdepan risiko bahaya

Pasukan bomba melakukan kerja pemantauan di kawasan tanah runtuh.

Oleh Dean Adam

KANOWIT, Feb 4: Penghuni di Rumah Panjang Baking Guang di Skim Gempuru Nanga Jagau dekat sini berdepan dengan risiko tanah runtuh.

Kejadian tanah runtuh tersebut dilaporkan berlaku kira-kira pukul 7.32 petang semalam.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, berdasarkan laporan diterima, kejadian tanah runtuh itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan hanya menjejaskan bahagian dapur tiga pintu sebuah rumah panjang di situ.

Jelasnya, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 14 buah pintu rumah panjang di situ dan dihuni seramai 88 penduduk dari 20 buah keluarga.

“Pihak bomba telah menasihati dan meminta agar penghuni yang terjejas agar berpindah sementara ke tempat yang lebih selamat sehingga keadaan kembali pulih.

“Anggota bomba juga telah memasang sawar-sawar di lokasi kejadian dan menasihati penghuni supaya berwaspada terutamanya semasa hujan dan segera mengosongkan rumah tersebut,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pihak bomba juga telah menjalankan ceramah keselamatan kebakaran dan demonstrasi alat pemadam api di rumah panjang tersebut. — DayakDaily