Pengurus syarikat wanita lesap RM59,000 akibat terpedaya skim pinjaman mudah

PDRM logo.
Advertisement

Oleh Dean Adam

KUCHING, Mac 23: Seorang pengurus syarikat lesap wang sebanyak RM59,000 selepas terpedaya dengan iklan pinjaman mudah yang dipromosikan dalam internet.

Wanita berusia 42 tahun itu membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan semalam.

Advertisement

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan telah melayari FB dan terlihat iklan pinjaman wang melalui carian Google.

Katanya, mangsa kemudian menghubungi nombor telefon 011-12353680 menerusi aplikasi WhatsApp.

“Mangsa seterusnya memberitahu dia ingin memohon pinjaman sebanyak RM80,000 sebelum suspek mengarahkan mangsa untuk membuat bayaran (sejumlah wang) bagi tujuan kelulusan.

“Tanpa berfikir panjang, mangsa kemudian membuat tujuh kali transaksi pembayaran melibatkan wang sebanyak RM59,000,” katanya di sini hari ini.

Mustafa Kamal menambah, mangsa melakukan transaksi pembayaran itu mulai 5 hingga 18 Mac lepas.

Ujarnya, mangsa berasa telah ditipu selepas tidak menerima sebarang wang pinjaman meskipun sudah membuat pembayaran kepada suspek.

“Kes ini masih lagi dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily

Advertisement