Pengundi umur 45 ke bawah bakal jadi penentu di PRU15, kata Abang Johari

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 29 Okt: Pengundi berumur 45 tahun ke bawah penentu bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), berbanding pengundi berusia 18 hingga 25 tahun.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia kerana ramai golongan pengundi berusia 45 tahun ke bawah yang menjadi pengundi baharu.


Ia adalah ekoran pendaftaran automatik pengundi susulan pelaksanaan Undi18.

“Memang kita tidak menafikan umur 18 ini penting tetapi apa yang berlaku dalam pendaftaran ialah ramai yang berumur antara 21 hingga 45 tahun dulu tidak mendaftar sebagai pengundi atau disebutkan tiada minat.

“Jadi lonjakan yang banyak ini adalah disebabkan pendaftaran automatik. Kalau kita tengok pada peratusan, umur 18 hingga 21 ada tapi tidaklah begitu banyak kalau bandingkan dalam jumlah pengundi baharu, ” katanya dalam sesi temu bual Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini.

Tambah Abang Johari, pengundi umur 45 ke bawah memang menjadi pengundi utama kerana golongan ini lebih rasional.

Bagaimanapun Abang Johari berkata, dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak di bawah pimpinannya memberi kesan kepada golongan muda.

Antaranya Dana Berdaulat yang akan dibentangkannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan depan.

“Ini adalah untuk mereka (golongan muda) kerana pengumpulan dana ini dalam masa 20 tahun akan meningkat dan memberi pulangan kepada Sarawak.

“Dari sudut pulangan ini akan memberi kesan kepada pembangunan ekonomi masa depan dan seterusnya membantu orang muda kerana dalam peruntukan ini termasuklah dana yang terkumpul dan dana wakaf.

“Ini akan membolehkan kita untuk memberi bantuan dari sudut pendidikan ke peringkat universiti. Siapa yang dapat menikmatinya ialah golongan muda,” katanya. — DayakDaily