Oleh Chris Bishop
KUCHING, 15 Sep: Pengkomersialan tuak bakal membuka peluang penjanaan ekonomi, kata Timbalan Menteri Industri Kreatif Dan Persembahan Seni Dato Snowdan Lawan.
Menurut beliau, ia bakal membawa manfaat kepada pekebun tempatan dan pengusaha tuak.
“Pengkomersialan tuak akan membuka peluang pekerjaan, penjanaan pendapatan dan pemuliharaan budaya.
“Ia sekaligus memastikan tradisi masyarakat Dayak ini terus berkembang,” kata Snowdan.
Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Festival Tuak Borneo 2024 di Kuching hari ini.
Tambah Snowdan, bagi masyarat Dayak, tuak adalah simbol identiti, warisan dan sejarah.
“Namun kini saya berbangga kerana tuak sudah melangkaui simbol budaya, ia berkembang menjadi satu industri bersama adat.
“Ia berpotensi menjadi salah satu penyumbang kepada perkembangan ekonomi negeri,” jelas Snowdan.
Festival Tuak Borneo 2024 bukan sahaja mempamerkan kepelbagaian tuak dari kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu, ia juga mempamerkan tuak era baharu yang diberi nilai tambah.
Festival selama 3 hari itu turut disertai pengusaha dari Sabah, Kalimantan dan Bali. — DayakDaily