KUCHING, 30 Julai: Sarawak akan terus mempromosikan Gua Niah sebagai tapak warisan ke peringkat global, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menurut beliau, pengiktirafan Kompleks Gua Taman Negara Niah sebagai Tapak Warisan Arkeologi Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) tiga hari lepas bakal membawa ramai lagi pelancong ke Sarawak
“Justeru, usaha usaha untuk menambah kemudahan seperti chalet akan terus dipertingkatkan.
“Implikasi pengiiktirafan ini adalah besar khususnya dari sudut pelancongan.
“Gua Niah ini sedang dilawat tidak seperti Gua Mulu, dan ia ada bukti pernah didiami manusia ,” kata Abdul Karim pada satu sidang media di Kuching hari ini.
Tambah beliau lagi, hasil kajian terbaharu dari penyelidik Universiti New South Wales mendapati kewujudan manusia di Gua Niah berlaku 65,000 tahun lepas.
Katanya, Gua Niah merupakan satu tapak purba yang dipelajari dan kajian dilakukan oleh pelbagai pihak.
“Gua Niah juga ada kahzanah lain seperti perkuburan, tulang-tulang dan cengkerang hidupan laut seperti penyu,” kata Abdul Karim.
Pengiktirafan itu menyaksikan Malaysia secara keseluruhannya berjaya menyenaraikan lima Tapak Warisan Dunia Unesco termasuk Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Kinabalu pada 2000, Bandar Bersejarah Selat Melaka dan George Town (2008) serta Warisan Arkeologi Lembah Lenggong (2012). — DayakDaily