LUBOK ANTU, Jan 29: Kira-kira 100 penduduk yang menetap di Rumah Panjang Engkaras di sini memerlukan perhatian pihak berkuasa berikutan kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan kediaman mereka di situ.
Pihak bomba yang menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 9.42 pagi ini kemudian bergegas ke lokasi rumah panjang berkenaan untuk melakukan kerja-kerja pemantauan.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong telah diarahkan ke lokasi bagi memantau insiden tersebut.
Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada penghuni rumah panjang berkenaan, kejadian tanah runtuh itu berlaku pada Sabtu lalu.
“Kejadian tanah runtuh itu dipercayai berlaku susulan hujan lebat berterusan sejak dua hari lalu.
“Insiden berkenaan telah mengakibatkan struktur tanah di kawasan rumah panjang itu susur kira-kira 0.6 meter,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Tiong memberitahu, siasatan awal mendapati terdapat enam daripada 18 buah pintu di rumah panjang terbabit terjejas.
Jelasnya, terdapat kesan rekahan pada dinding dan lantai di enam buah pintu rumah yang terjejas.
“Buat masa ini, tindakan kami ialah memberi nasihat kepada para penghuni rumah panjang di situ untuk lebih berjaga-jaga dan meminta menghubungi pihak bomba sekiranya kejadian tersebut berulang semula,” ujarnya lagi. — DayakDaily