Pihak berkuasa tempatan diminta terus berusaha membasmi penyakit rabies

Dr Sim (empat dari kanan) menerima cenderahati dari Chan selepas merasmikan Majlis Penghargaan Kakitangan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) 2018.

KUCHING, Jan 29: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak meminta sebanyak 25 pihak berkuasa tempatan dibawahnya samada majlis daerah, majlis perbandaran dan majlis bandaraya di negeri ini supaya terus berusaha sebaik mungkin mengelakkan lebih ramai penduduk negeri ini digigit anjing dan dijangkiti penyakit anjing gila atau rabies yang boleh membawa maut.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Professor Datuk Dr Sim Kui Hian berkata sejak penyakit terbabit di kesan di negeri ini Jun tahun lepas, setakat ini sudah seramai tujuh orang penduduk tempatan telah disahkan positif dijangkiti penyakit rabies setelah mereka digigit anjing yang membawa virus penyakit itu.

“Sebab itulah kita mesti berterusan memastikan yang penduduk di Sarawak adalah selamat dari penyakit rabies dan kita sudah tiada pilihan lain. Saya tidak mahu ada lagi yang akan kehilangan nyawa,” katanya ketika menghadiri Majlis Penghargaan Kakitangan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) 2018 di sini semalam.

Juga menghadiri majlis tersebut ialah Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk James Chan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang dan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan, Lo Khere Chiang.

Sim berkata pihaknya kecewa kerana sebelum ini hanya ada enam kes penduduk tempatan dijangkiti rabies dan selepas beberapa bulan hanya ada kes anjing yang positif dijangkiti, tetapi pada Jan 26 lepas berlaku satu lagi kes penduduk tempatan yang dijangkiti penyakit itu setelah digigit anjing di Jalan Batu Kawa-Matang.

“Sekiranya ada yang digigit anjing yang dijangkiti rabies dan tidak mendapatkan rawatan sepatutnya dengan segera, virus rabies akan mengambil masa dua atau tiga bulan bagi sampai ke bahagian otak,” katanya.

Menurutnya, setelah virus rabies sampai ke bahagian otak, mangsa hanya berpeluang sebanyak satu peratus sahaja bagi berjaya disembuhkan selepas dirawat manakala 99 peratus akan gagal dirawat dan ini bukan sesuatu yang baik kepada penghidap penyakit itu.

Dr Sim sehubungan itu berterima kasih kepada bahagian kesihatan awam di semua pihak berkuasa tempatan di negeri ini kerana telah mengambil segala tindakan yang perlu bagi mencegah penularan penyakit terbabit di kawasan pentadbiran masing-masing.

Antara yang telah dilakukan pihak berkuasa tempatan terbabit termasuk MBKS ialah menjalankan operasi menangkap anjing liar di kawasan pentadbiran masing-masing bagi mengelakkan penduduk digigit haiwan itu yang mungkin sudah dijangkiti rabies. — DayakDaily