Penghuni Bui Panjai, Lubok Antu dan Sg Putong, Ulu Undop jalani ujian swab hari ini

Petugas-petugas kesihatan bersedia melakukan ujian swab di Bui Panjai di Lubok Antu.
Advertisement

SRI AMAN, 8 JAN: Semua penghuni di dua rumah panjang di Bahagian Sri Aman yang dikenakan sekatan pergerakan bermula semalam selesai menjalani ujian swab Covid-19 hari ini.

Ujian yang dilakukan pada pagi tadi melibatkan seramai 30 penghuni Rumah Sg. Putong, Ulu Undop dan 138 penghuni di Rh. Simon, Bui Panjai di Lubok Antu.

Pada ujian di Bui Panjai, ia dilaksanakan oleh petugas dari Jabatan Kesihatan Bahagian dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Lubok Antu.

Advertisement

Pihak keselamatan turut membuat kawalan ketat bagi memastikan tiada penghuni keluar dan tiada individu lain memasuki kawasan perintah sekatan pergerakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah pada semalam mengumumkan keputusan tersebut susulan terdapat kes positif Covid-19 dilaporkan di kedua-dua rumah tersebut.

Dengan sekatan pergerakan itu, semua penghuni rumah panjang tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang perintah dilaksanakan.

Menurut Uggah, kes ke-1,177 dan 1,180 didapati ada membuat kunjungan Krismas sebelum didapati positif pada 7 Januari 2021.

Kedua-dua kes kata Uggah merupakan warga tempatan yang telah disaring Covid-19 dan menerima rawatan di klinik kesihatan di Sri Aman pada 6 Januari 2021.

Dalam pada itu, Jabatan Kebajikan menghantar bekalan makanan iaitu untuk sarapan, makan tengahari dan makan malam ke kedua-dua rumah panjang berkenaan. — DayakDaily

Advertisement