Penghadang bagi lancarkan trafik diletak di laluan paling kiri persimpangan Flyover Batu 10

Lo (dua dari kanan) berbincang dengan Jurutera JKR Chee Yuann Fong pada lawatan ke tapak projek Flyover Batu 10.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 23 Dis: Pihak kontraktor Projek Jalan Pan Borneo akan meletakkan penghadang di laluan paling kiri laluan Kuching ke Serian di persimpangan Flyover Batu 10.

Menurut Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang, ia bagi melancarkan pergerakan trafik khusus bagi mereka yang menuju ke Serian.

“Kita telah mengadakan perbincangan dengan pihak kontraktor, konsultan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengurangkan kesesakan trafik di Flyover Batu 10.

“Maka, penghadang jalan akan dibina di persimpangan tersebut dengan kenderaan pada laluan paling kiri akan bergerak terus tanpa berhenti di lampu isyarat,” katanya ketika ditemui pada lawatan ke tapak projek di sini hari ini.


Beliau yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) menambah, terdapat keperluan untuk meletakkan penghadang tersebut memandangkan pergerakan trafik akan bertambah menjelang perayaan Krismas nanti.

Katanya, penghadang tersebut akan diletakkan oleh pihak kontraktor hari ini manakala dua laluan lain adalah khusus bagi kenderaan yang ingin masuk ke pekan Batu 10 dan membuat pusingan ‘U’.

Dalam pada itu, Lo juga berkata pihaknya sedang berusaha untuk mencari penyelesaian bagi mengurangkan kesesakan trafik di Flyover Batu 7. — DayakDaily