PBDS bangga anak jati S’wak berketurunan Dayak sebagai Ketua Pengarah LLM

Bobby William

KUCHING, 23 Dis: Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) mengalu-alukan perlantikan anak jati dari masyarakat Dayak, Philip Gaweng sebagai Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia (LLM) yang baharu.

Presidennya Bobby William berkata, ia adalah satu tindakan yang tepat dan terbaik oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Beliau (Philip) adalah seorang yang berpengalaman di dalam Lembaga Lada dan saya yakin akan membawa industri lada ke tahap yang lebih tinggi.


“PBDS juga berharap satu perubahan dapat dilakukan bagi meransangkan semula industri lada yang suram akibat penurunan harga khususnya di Sarawak yang merupakan pengeluar terbesar lada,” katanya menerusi satu
kenyataan.

Watikah perlantikan Philip berkuatkuasa 1 Disember 2020 telah diserahkan kepada beliau oleh Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Willie Mongin pada Majlis Anugerah Perkhidmatan LLM di sini, semalam.

Dalam pada itu, Bendahari Agung PBDS Sai Malaka senada dengan Bobby untuk mengajak masyarakat Dayak menyertai parti.

Katanya, sudah tiba masanya untuk mereka kembali ke PBDS setelah sekian lama berpecah atau bersama parti-parti lain di negeri ini.

“Masyarakat Dayak yang berada di luar dan atas pagar yang berminat memperjuangkan politik bansa Dayak boleh meneruskan perjuangan mereka menerusi PBDS.

“Sekarang adalah masa yang tepat bagi mereka kembali dan mencorak langkah bijak bersama parti jika ingin terus relevan di Sarawak pada masa hadapan,” kata Sai. — DayakDaily