This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 21 Ogos: Penggunaan Setem Hasil dan mesin franking pos oleh pengguna luar seluruh Malaysia sebagai kaedah penyeteman ke atas dokumen atau perjanjian akan ditamatkan mulai 1 Januari 2024.
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dalam satu kenyataan hari ini berkata, pembayar duti adalah dibenarkan untuk menggunakan Setem Hasil sehingga 31 Disember 2023.
Justeru, mereka dinasihatkan untuk menghabiskan Setem Hasil yang berada dalam simpanan masing-masing.
Menurut HASiL, bagi sebarang Setem Hasil yang tidak digunakan, tiada tuntutan bayaran balik dibenarkan atau diganti dengan wang tunai.
Permohonan penyeteman dan pembayaran duti setem boleh dilakukan secara dalam talian melalui portal Sistem Taksiran Dan Pembayaran Duti Setem (STAMPS) di pautan
https://stamps.hasil.gov.my tanpa perlu hadir ke kaunter duti setem.
Manakala individu warganegara dan penduduk tetap yang mempunyai fail cukai pendapatan boleh membuat pendaftaran ID Pengguna STAMPS, permohonan taksiran dan bayaran duti
setem secara dalam talian melalui portal STAMPS.
Pendaftaran fail cukai individu pula boleh dibuat melalui e-Daftar di pautan https://edaftar.hasil.gov.my/. — DayakDaily