Oleh Dean Adam
KUCHING, Dis 24: Bersempena sambutan Hari Krismas yang diraikan esok, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak memohon kerjasama daripada pengguna jalan raya agar lebih bertanggungjawab di atas keselamatan mereka dan keluarga masing-masing.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, para pengguna jalan raya juga diminta mematuhi semua arahan pihak berkuasa dalam mengawal lalu lintas.
Katanya, pengguna jalan raya patut turut sentiasa memandu dalam kelajuan yang selamat selain menentukan kenderaan mereka dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.
“Selain itu, sila rancang jadual dan masa perjalanan sebelum ke destinasi masing-masing.
“Seterusnya, para pengguna jalan raya perlu bertimbang rasa kepada orang lain dan berhati-hati semasa dalam perjalanan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Alexson menambah, para pengguna jalan raya juga diminta mengelak daripada mengekori kenderaan di hadapan dengan jarak yang terlalu rapat.
Katanya, mereka juga perlu mengelak daripada memandu perlahan di lorong sebelah kanan untuk memudahkan pengguna jalan raya yang lain.
“Antara lain, mereka perlu mematuhi papan tanda panduan lalu lintas di jalan raya.
“Patuhi juga had laju yang ditetapkan semasa memandu bagi mengelak daripada kejadian tidak diingini,” katanya.
Dalam pada itu, Alexson memberitahu, orang ramai yang akan meninggalkan rumah atau premis semasa musim perayaan ini agar memasang alat keselamatan tambahan pada pintu utama.
Jelasnya, mereka juga diingatkan supaya tidak meninggalkan sebarang nota di luar rumah atau premis masing-masing.
“Begitu juga, jangan menyembunyikan kunci di bawah alas kaki atau di dalam pasu atau kotak meter di luar.
“Langkah ini penting supaya rumah atau premis mereka selamat daripada sebarang unsur jenayah,” katanya. — DayakDaily