KUCHING, 13 Feb: Penggabungan Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu (PSB) dijangka berlaku dalam masa terdekat.
Menurut sumber, PSB yang diterajui oleh Presiden Datuk Seri Wong Soon Koh dijangka membubarkan parti (PSB) pada 17 Februari ini.
Seterusnya ia akan membentuk satu entiti baharu bersama PDP, sebuah parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Bila ini berlaku, persoalannya adakah entiti baharu ini akan diterima di dalam GPS.
“PDP adalah parti dalam GPS,” kata sumber.
Sementara itu, pada kunjungan Tahun Baru Cina terhadap Wong di Sibu semalam, Presiden PDP Dato Sri Tiong King Sing berkata proses penggabungan dua parti itu sedang dilaksanakan mengikut lunas undang-undang yang ada.
Menurut Tiong, penggabungan itu juga tidak akan menyebabkan pilihan raya kecil (PRK) di Sarawak.
Tiong yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya serta Ahli Parlimen Bintulu menegaskan tidak mahu menimbulkan suasana huru-hara, sebaliknya mahu ia diselesaikan terlebih dahulu.
Pada 13 Julai tahun lalu, PSB yang juga parti pembangkang dan memenangi tiga kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 pada 2021, mengumumkan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
PDP pada PRN12 menang di lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Tasik Biru menerusi Dato Henry Harry Jinep, Krian (Friday Belik), Meluan (Roland Duat), Dudong (Tiong) dan Marudi (Datuk Pengguang Manggil).
Di peringkat Parlimen pula PDP diwakili Tiong (Bintulu) dan Baram (Dato Anyi Ngau).
Manakala PSB menang di DUN Engkilili menerusi Dr Johnichal Rayong Ngipa, Ba’kelalan (Baru Bian), Bawang Assan (Wong) dan Batu Lintang (See Chee How).
Namun pada bulan Ogos 2022, See mengumumkan keluar PSB dan menjadi Adun Bebas. — DayakDaily