Kerajaan Sarawak tanggung semua kos bina jalan Miri-Marudi-Mulu-Long Terawan

Abang Johari (lapan dari kiri) pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina SUPP di Miri. Foto: Ukas

KUCHING, 13 Feb: Kerajaan Sarawak tanggung semua kos pembinaan jalan menghubungkan Miri, Marudi, Mulu dan Long Terawan di Baram, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Abang Johari berkata pembinaan dijangka akan bermula pada tahun depan.

Katanya, pelan laluan jalan tersebut sudah dipersetujui dan akan memendekkan perjalanan dari Miri ke Long Terawan selama kira-kira sejam setengah.


“Dengan adanya jalan itu nanti, Mulu dapat dihubungkan ke kawasan Gunung Buda di Limbang.

“Dalam erti kata lain, semua jalan telah dihubungkan. Ianya telah lengkap.

“Moga-moga kita dapat memulakannya pada tahun depan kerana tahun ini JKR (Jabatan Kerja Raya) masih melakukan proses tender. Ini kita tanggung semua,” kata Abang Johari

Beliau berucap demikian pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina SUPP Parliamentary Miri-Sibuti Liaison Committee di Mega Hotel, Miri semalam.

Selain itu, tambah Abang Johari, kawasan Niah di Miri juga akan dibangunkan dengan infrastruktur asas bagi mengangkat lagi nilai pelancongan di situ.

Ia berikutan Sarawak telah menghantar cadangan kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk menjadikan Niah sebagai Tapak Warisan Dunia. — DayakDaily