BAU, 25 Sept: Tiga lelaki dipercayai pengedar dadah ditangkap dalam satu serbuan ke atas sebuah pondok di Kampung Nowang, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata turut ditemui daripada suspek adalah dadah dengan berat keseluruhan sebanyak 31.99 gram dan bernilai sekitar RM3,100.
Katanya, anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bau telah menyerbu pondok tersebut selepas mendapat maklumat berhubung kegiatan tersebut pada jam 10.15 pagi hari ini.
Kesemua suspek berusia 22,32 dan 42 tahun merupakan warga tempatan iaitu dari Kampung Grogo, Kampung Nowang dan Kampung Stenggang.
“Semasa diperiksa, seorang daripada suspek menyerahkan satu plastik bag berisi enam paket lutsinar dari dalam beg sandangnya dan hasil pemeriksaan mendapati ianya mengandungi dadah jenis syabu seberat 30.81 gram.
“Manakala pemeriksaan lanjut ke atas dua lagi suspek menemukan satu paket lutsinar berisi dadah jenis syabu seberat 1.18 gram di atas meja tempat kedua-dua mereka duduk,” katanya.
Menurut Poge juga, ketiga-tiga suspek dipercayai sedang ‘lalok’ semasa pemeriksaan dilakukan.
“Mereka tidak menyedari kehadiran polis kerana sedang leka melakukan sesuatu.
“Dipercayai juga, dadah yang dirampas adalah sebahagian atau baki yang belum digunakan dan dijual,” kata Poge.
Hasil risikan juga mendapati kesemua suspek aktif dalam aktiviti dadah yang diperolehi daripada rakan dan kemudian sebahagianya adalah untuk dijual.
“Siasatan lanjut kes masih dijalankan. Ketiga-tiga mereka juga disahkan positif dadah dan mereka kini akan dipohon reman pada 26 September untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya. – DayakDaily.