SERIAN, 21 Sept: Seorang lelaki kempunan upah RM72,000 apabila cubaannya menyeludup dadah jenis syabu seberat 36 kilogram (kg) di Kilometer 8 Jalan Tebedu-Serian berjaya dipatahkan Pasukan Gerakan Am Briged Sarawak.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata suspek berusia 48 tahun ditangkap bersama dadah bernilai RM1.296 juta yang dipercayai cuba diseludupnya ke Indonesia iaitu sekitar jam 5 pagi pada 18 September.
Katanya, suspek ketika itu memandu sebuah kereta jenis Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) Toyota Innova.
“Suspek dipercayai ‘transporter’ sindiket pengedaran dadah dengan mengambil upah RM2,000 bagi satu kilogram dadah yang dibawanya dari Miri untuk diseludup ke Indonesia.
“Dadah tersebut dipercayai untuk pasaran di Indonesia yang dibawa masuk ke negeri ini dari Semenanjung Malaysia,” katanya dalam sidang media kejayaan tersebut di IPD Serian, hari ini.
Mengulas lanjut, Aidi memberitahu anggota PGA yang menjalankan Op Benteng melihat kereta suspek yang bergerak dari Serian menuju ke Kompleks Kastam, Imigresen, Keselamatan dan Kuarantin telah berpatah balik dalam keadaan mencurigakan.
“Anggota PGA terbabit kemudian bertindak mengejar dan menahan kenderaan dipandu suspek dan hasil pemeriksaan menjumpai dua beg galas di bahagian penumpang tengah dan dua beg galas di bahagian bawah kerusi penumpang belakang.
“Hasil pemeriksaan mendapati setiap beg yang dijumpa mengandungi sembilan bungkusan dadah jenis syabu,” katanya.
Suspek kemudian ditangkap dan kesemua dadah serta wang tunai RM572 dan seutas jam tangan berjenama turut dirampas untuk siasatan lanjut.
Siasatan awal juga mendapati suspek mengaku telah membuat empat kali penghantaran dadah dengan setiap penghantaran mengandungi 18 kilogram syabu sejak April tahun ini.
“Dia mendedahkan telah empat kali melakukan transaksi dan kali ini dia tumpas,” katanya lagi.
Suspek selain itu turut disahkan positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.
“Suspek mengaku mula mengambil dadah sejak 2018 dan terlibat kegiatan pengedaran dadah sejak April tahun ini,” katanya.
Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.
Sidang media tersebut turut dihadiri Ketua JSJN Sarawak ACP Jasmirol Jamaluddin dan Timbalan Komander Brided Sarawak ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah. — DayakDaily