Pengawal keselamatan ditemui mati di Pending

Lori polis tiba di lokasi kejadian untuk membawa mayat mangsa ke HUS.

KUCHING, 12 Jun: Seorang pengawal keselamatan ditemui mati berdekatan pondok pengawal di sebuah kilang di Lorong Sebor, Pending di sini hari ini.

Menurut sumber, mangsa dikenali sebagai Mohyada Ahamad berusia 62 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sekitar jam 8.50 pagi.

Sepasukan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas mendapat maklumat berhubung kejadian terus bergegas ke lokasi kejadian.


Hasil pemeriksaan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis dan kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS).

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ashmon Bajah semasa dihubungi telah mengesahkan mengenai kejadian tersebut.

Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan. — DayakDaily