Kempen derma darah anjuran NSJA mencatat rekod tertinggi, 108 penderma tempoh 6 bulan 2021

Lee (berdiri barisan depan, tiga dari kiri), Yii (barisan belakang, dua dari kiri) dan Jong (barisan depan, dua dari kanan) bersama penderma darah dalam program tersebut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 12 Jun : Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) hari ini merekodkan jumlah bilangan penderma darah terbanyak dalam program anjurannya di Institut Latihan Persatuan Bulan Sabit Merah, cabang Miri di Jalan Bulan Sabit di sini.

Pada kempen tersebut yang diadakan bersempena dengan Hari Penderma Darah Sedunia 2021, sebanyak 108 penderma telah berjaya menderma darah mereka daripada 134 yang datang mendaftar.


Presiden NSJA Andy Jong Wan Joon, ketika ditemui, berkata kejayaan ini hasil daripada sokongan orang awam yang datang untuk sama-sama membantu dalam kempen derma darah di daerah ini.

Untuk rekod, sepanjang bulan Januari sehingga Jun tahun ini di Institut Latihan PBSM cabang Miri, angka 108 penderma yang berjaya menderma darah anjuran NSJA hari ini merupakan yang tertinggi sekali.

Sebelum ini, sepanjang tempoh dari Januari sehingga Jun, rekod penderma darah yang datang ke Institut Latihan PBSM cabang Miri adalah di bawah 100 orang.

Turut hadir menyaksikan program hari ini adalah Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin dan Datuk Bandar Miri Adam Yii.

Dalam pada itu, Lee memberi jaminan kepada orang awam yang hendak datang menderma darah sama ada ke Bank Darah Hospital Miri atau Institut latihan PBSM cabang Miri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), boleh berbuat demikian tanpa perlu memohon permit perjalanan daripada pihak polis.

“Hanya memadai menunjukan kad derma darah atau temujanji kepada pihak polis semasa melalui sekatan jalan raya (SJR),” jelasnya.

Menurutk Lee, aktiviti menderma darah adalah tersenarai dalam perkhidmatan perlu sepanjang PKP.— DayakDaily