Pengasuh pukul kepala dan tidak beri makan dan minum kepada kanak-kanak diberkas

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

PADAWAN, Okt 28: Seorang pengasuh wanita ditahan selepas disyaki memukul kepala dan tidak memberi makan dan minum kepada seorang kanak-kanak berusia 1 tahun 2 bulan di sebuah bilik sewa di MJC Batu Kawa di sini semalam.

Menurut sumber, suspek berusia 23 tahun diberkas oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan pada pukul 2 petang.


Katanya, tangkapan itu dilakukan susulan laporan yang diterima daripada ibu kepada kanak-kanak terbabit yang berusia 17 tahun.

“Berdasarkan laporan diterima, pada Oktober 25 lepas kanak-kanak terbabit dikatakan tiba-tiba menangis sehingga mukanya menjadi pucat.

“Pengadu (ibu kanak-kanak) itu kemudian bergegas pulang ke rumahnya sebelum mendapati anaknya dalam keadaan tidak sedarkan diri. Dia kemudian membawa anaknya pergi ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya di sini hari ini.

Sumber menambah, selepas menjalani pemeriksaan, ibu kanak-kanak tersebut telah dimaklumkan oleh doktor bahawa anaknya dalam keadaan kritikal disebabkan sudah lama tidak diberi makan dan minum iaitu hampir tiga minggu.

Katanya, keadaan berkenaan menyebabkan kanak-kanak tersebut diserang penyakit sawan dan jangkitan kuman di paru-paru.

“Hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku ada memukul menggunakan botol susu pada bahagian kepala mangsa sebanyak dua kali.

“Suspek juga mengaku memukul di bahagian kepala dengan menggunakan tangan untuk memberhentikan tangisan mangsa.

“Antara lain, suspek juga mengaku dia melakukan perbuatan itu disebabkan perasaan marah pada pengadu di atas kelewatan membayar gajinya,” jelasnya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001. — DayakDaily