KUCHING, 29 Sept: Seorang pengarah syarikat dipenjara tiga tahun atas pertuduhan di bawah Seksyen 117 Akta Perlindungan Pengguna 1999 – Ketidakpatuhan Award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) pada 24 September 2021.
Pengarah Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam dalam satu kenyataan berkata, ia melibatkan tiga kes saman bagi kesalahan di bawah Subseksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 ke atas Orang Kena Saman (OKS).
Majistret Shah Wira Abdul Halim telah menjatuhkan hukuman denda RM8,000, jika gagal bayar denda dipenjara satu tahun bagi setiap pertuduhan.
“Mengikut fakta kes, tertuduh gagal mematuhi Award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk membayar kepada tiga pihak yang menuntut wang masing-masing berjumlah RM4,999, RM6,228 dan RM10,879.
“Setelah selesai perbicaraan OKS gagal membuktikan keraguan yang munasabah di peringkat pembelaan.
“OKS telah gagal membayar denda untuk ketiga-tiga pertuduhan dan dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selama tiga tahun,” katanya.
Kementerian, kata Azman, memandang serius isu ketidakpatuhan Award TTPM oleh orang ramai dan berharap hukuman ini menjadi peringatan kepada semua pihak untuk menghormati hak-hak pengguna dalam melaksanakan perniagaan. — DayakDaily