Dua beradik antara tiga yang maut dalam nahas di Jalan Bako

Keadaan kereta yang dinaiki ketiga-tiga mangsa selepas kemalangan tersebut semalam (28 Sept 2021).

KUCHING, 29 Sept: Tiga lelaki disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala selepas terlibat dalam kemalangan kendiri di Jalan Bako, di sini semalam.

Difahamkan, dua daripada mangsa adalah adik beradik berusia 24 dan 28 tahun dan seorang lagi mangsa berusia 26 tahun merupakan pemandu kereta.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata ketiga-tiga mangsa menaiki sebuah kereta jenis Proton Gen2 menuju ke arah Bako iaitu sekitar 7.10 malam.


“Siasatan awal mendapati kereta mereka telah hilang kawalan di selekoh lalu terbabas ke sebelah kanan jalan dan melanggar pokok di atas pembahagi jalan.

“Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pasukan Bomba Tabuan Jaya turut hadir di lokasi kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa dari dalam kenderaan.

Katanya, mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily