Penganggur lesap wang RM8,020 ditipu sindiket pinjaman tidak wujud

Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah

Oleh Dean Adam

KUCHING, April 19: Seorang penganggur lelaki terpaksa berputih mata selepas kerugian RM8,020 apabila terpedaya dengan sindiket pinjaman tidak wujud.

Mangsa yang berusia 35 tahun itu dilaporkan telah tertarik dengan iklan pinjaman wang yang ditawarkan sebuah syarikat melalui Facebook pada 12 April lepas.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata selepas itu, mangsa telah menghubungi nombor telefon yang diperolehi di dalam iklan pinjaman wang tersebut.

Katanya, mangsa kemudian mengatakan dia berminat untuk membuat pinjaman wang sebanyak RM10,000 daripada syarikat suspek.

“Mangsa kemudian diminta menghantar gambar kad pengenalan melalui aplikasi WhatsApp dan membuat beberapa bayaran yang akan diberitahu dari semasa ke semasa.

“Mangsa telah membuat pembayaran wang keseluruhan berjumlah RM8,020 ke dalam satu akaun bank yang diberikan suspek sebanyak lima kali pada 13 hingga 17 April lepas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mustafa Kamal menambah, bayaran itu dibuat kononnya sebagai deposit pinjaman, bayaran pindahan wang dan duti setem.

Katanya, mangsa berasa telah ditipu oleh suspek setelah wang pinjaman tidak diterima meskipun bayaran telah dibuat.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily