Pengambilan khas besar-besaran selesaikan masalah kekurangan guru — Bersatu Sarawak

Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian

KUCHING, 21 Jun: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian yakin masalah kekurangan guru khususnya di Sarawak dan Sabah bakal selesai dengan pengumuman pengambilan khas besar-besaran.

Katanya, pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin melibatkan pengambilan 18,702 orang guru secara ‘one off’.

“Ini merupakan jalan penyelesaian terbaik dan amat perlu dilakukan terutama di negeri seperti Sarawak dan Sabah yang berhadapan masalah kritikal dalam isu kekurangan guru,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Tambah Jaziri, ini sudah tentu memberi manfaat kepada rakyat Sarawak yang agak kritikal dalam soal kekurangan guru.

Katanya, ia sekaligus membantu meningkatkan kualiti pembelajaran dan kemahiran anak-anak Sarawak demi masa depan yang lebih baik.

“Oleh itu saya mengalu-alukan usaha ini kerana percaya Sarawak juga mempunyai bakat dan potensi tinggi untuk anak mudanya turut menyumbang dan berbakti kepada anak bangsa.

“Saya juga menyeru agar diberi keutamaan graduan bidang pendidikan IPTA/IPTS dan IPG yang layak tetapi belum mendapat penempatan serta berharap tidak wujud birokrasi yang boleh melambatkan proses pengambilan guru,” ujar beliau.

Jelas Jaziri lagi, masalah kekurangan guru ini sebenarnya semakin menghimpit terutama di Sarawak dan Sabah yang agak luas wilayahnya dan ramai rakyatnya menetap di kawasan luar bandar yang serba kekurangan serta jauh daripada bandar.

Selain itu, katanya, Johor dan Selangor juga menghadapi isu yang sama dan berpunca daripada kekurangan bekalan calon guru daripada Institut Pendidikan Guru (IPG) dan ketidakpadanan opsyen mata pelajaran.

“Masalah ini menjadi semakin ketara berikutan kekurangan guru melibatkan subjek yang agak kritikal.

“Antaranya ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam, Teknologi Maklumat dan Komunikasi dan Rekabentuk dan Teknologi,” ujar Jaziri. — DayakDaily