Penerima vaksin perlu maklum Tuai Rumah sebelum hadir ke PPV Dewan Suarah Marudi

Roselind Muli ketika dalam proses vaksinasi di PPV Dewan Suarah Marudi. Foto: Ukas

MARUDI, 11 Jun: Setiap penerima vaksin di rumah panjang dikehendaki memaklumkan kepada Tuai Rumah sebelum hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Suarah Marudi.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) hari ini, peringatan tersebut telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Marudi semalam (10 Jun).

“Pihak JPBD Marudi akan memaklumkan kepada Tuai Rumah serta Setiausaha Rumah Panjang sebelum hadir dan mendapatkan vaksin.


“Ini bagi mengelak kehadiran penerima vaksin dalam satu-satu masa sehingga menyebabkan kesesakan di PPV Dewan Suarah Marudi,” kata Jawatankuasa terbabit.

Semalam, seramai 200 orang penduduk di Daerah Marudi menerima vaksin Covid-19.

Dalam perkembangan sama, JPBD Marudi juga meminta orang ramai khususnya penduduk di Daerah Marudi yang belum mendapat vaksin agar bersabar dan menunggu giliran untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Sementara itu, Ukas turut melaporkan bahawa salah seorang penerima vaksin Covid-19, Roselind Muli, 48, yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) melahirkan rasa syukur kerana telah mendapat suntikan vaksin Covid-19.

Katanya, beliau menggalakkan penduduk yang merasa ragu-ragu untuk segera mendaftar dan mengambil suntikan vaksin Covid-19 demi untuk keselamatan diri, keluarga dan orang lain.

Ketika ini Jabatan Kesihatan Daerah Marudi dengan kerjasama JPBD Marudi serta agensi kerajaan menumpukan kepada penduduk yang tinggal di rumah-rumah panjang dalam kawasan Puyut Lubuk Nibung untuk menerima vaksin Covid-19. — DayakDaily