Penerima BPN dengan rekod percukaian perlu kemas kini maklumat bank

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia logo

KUCHING, April 13: Penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang mempunyai rekod data percukaian serta telah diluluskan bantuan tersebut tetapi masih belum menerima BPN diminta mengemaskini maklumat akaun bank mereka yang aktif.

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) menerusi satu kenyataan hari ini berkata, proses kemaskini boleh dilakukan melalui aplikasi e-kemaskini di pautan pantas https://ez.hasil.gov.my/ci selewat-lewatnya pada April 30, 2020.

“Ia bagi membolehkan bayaran BPN mereka dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan pada bulan Mei 2020,” menurut LHDNM.


LHDNM juga menasihati penerima BPN untuk hanya menggunakan saluran rasmi LHDNM dalam urusan mengemaskini maklumat bank tersebut dan tiada TAC diperlukan bagi tujuan penyaluran BPN.

Bagi penerima BPN yang tiada rekod percukaian, bayaran BPN mereka akan dibuat seperti yang telah dimaklumkan dalam Soalan Lazim (FAQ) BPN.

FAQ BPN tersebut boleh dicapai di Portal Rasmi BPN atau melalui capaian pantas https://bpn.hasil.gov.my/Download/Faq/SoalanLazim(FAQ)BantuanPrihatinNasional(Kemaskini%2006042020).pdf.

Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara di atas juga boleh dimajukan kepada LHDNM melalui Hasil Care Line (HCL) di 03-8911 1000, HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/. — DayakDaily