BAU, Jan 20: Kompleks Gua Niah di Taman Negara Niah dijangka akan menarik perhatian dunia ke Sarawak selepas ini setelah penemuan terbaharu menunjukkan terdapat tanda penempatan manusia bermula di gua itu sekitar 65,000 tahun dahulu.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata demikian setelah beliau dan Timbalan Ketua Menteri, Dato Sri Douglas Uggah Embas telah berjalan kaki sejauh tiga kilometer bagi melawat ke gua terbabit di Taman Negara Niah, Isnin lepas dan terus diberikan taklimat di pintu masuk gua terbabit mengenai penemuan itu.
“Sampai di pintu masuk gua terbabit, kita diberi taklimat (terkini) yang ada tanda-tanda bahawa penempatan manusia bermula di Gua Niah sekitar 65,000 tahun dahulu,” katanya ketika Majlis Penyerahan Warta Pimu’ung Singai dan Perasmian Karnival Singai 2019 di Dewan Kelab Sukan dan Rekreasi Singai di Kampung Sudoh, Singai di sini, Sabtu lepas.
Abang Johari berkata kajian yang telah menemu tanda penting terbabit telah dibuat oleh kalangan para saintis dari University Of New South Wales tetapi beliau tidak memberikan butiran terperinci terhadap kajian terbabit.
Beliau bagaimanapun menegaskan penemuan terbaharu para saintis universiti terlibat yang wujudnya penempatan manusia sekitar 65,000 tahun dahulu di Gua Niah dijangka menarik perhatian seluruh dunia ke Sarawak selepas ini.
“Yang saya tahu, penempatan manusia (di Gua Niah) sekitar 40,000 tahun dahulu, jadi ini adalah satu penempuan terbaharu dan bermakna negeri kita ini akan dapat menarik perhatian dunia,” katanya.
Sementara itu, Professor Madya Dr Darren Curneon, University Of New South Wales, Sydney, Australia mendedahkan tapak arkeologi dikenali sebagai “Gua Pedagang” dalam kompleks Gua Niah telah mendedahkan penemuan seperti alatan batu dan tulang haiwan yang membuktikan manusia purba sudah menghuni gua tersebut sekitar 65,000 tahun dahulu.
“Gua Pedagang telah memberitahu kita yang manusia purba sebenarnya datang ke rantau ini dari rantau Afrika sekitar 65,000 tahun dahulu dan ini lebih awal selama 20,000 tahun dari anggapan sebelum ini,” katanya ketika program Bicara Warisan Bertajuk” Bap Seterusnya Dalam Sejarah Gua Niah: Manusia Berusia 65,000 Tahun Gua Pedagang di Pejabat Jabatan MUzium Sarawak, Jalan Barrack, di sini, Oktober tahun lepas.
Menurutnya, 65,000 tahun dahulu, paras laut lebih rendah dan cuaca dunia lebih sejuk berbanding hari ini dan gua terbabit adalah tempat tinggal terbaik kepada manusia purba yang melindungi mereka dari cuaca dan juga bintang buas.
Katanya menusia purba terbabit juga sudah mengunakan alatan memburu canggih dan berdagang barangan dengan manusia lain dan berikutan itu universiti terbabit bakal kembali melakukan penyelidikan arkeologi di Gua Niah lagi bersama JMS dan universiti tempatan sekitar Febuari hingga Mac tahun hadapan bagi mencari lebih banyak bukti mengenai kehidupan manusia purba ketika itu. — DayakDaily