Penemuan spesis unik dan baharu di Bukit Kelingkang

Peserta ekpedisi dan penyelidik dari JHS berada di puncak Banjaran Kelingkang.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 15: Ekspedisi saintifik di Banjaran Kelingkang oleh penyelidik dari Jabatan Hutan Sarawak (JHS) telah menemui beberapa spesis unik dan rekod baharu.

Penolong Pengarah Hutan Kanan JHS, Runi Sylvester Pungga selaku pengerusi ekspedisi berkata apa yang menarik sepanjang ekspedisi ini adalah penemuan pokok atau ‘host plant’ iaitu tempat untuk untuk rafflesia tumbuh.

“Ekspedisi tidak pernah jumpa rafflesia sebelum ini tapi kami jumpa pokok ataupun ‘host plant’ untuk rafflesia hidup dan ini merupakan satu penemuan menarik setakat ini.

“Diantara yang ditemui sepanjang ekspedisi adalah lebih dari 20 jenis spesis kulat termasuk cendawan susu harimau yang mempunyai nilai perubatan.

“Selain itu, para penyelidik turut menemui beberapa jenis spesis tumbuhan seperti halia hutan dan Kacip Fatimah yang juga mempunyai nilai perubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penutupan Ekspedisi Saintifik Banjaran Kelingkang 2019 bertempat di Rh Stephen Anak Karin, Selepong Berangan, Sri Aman pada Jumaat lepas.

Runi (duduk tiga kiri) merakamkan kenangan bersama peserta ekspedisi dan penduduk kampung di majlis penutupan.

Runi menambah, ekspedisi juga menemui beberapa spesies orkid pokok hiasan yang mempunyai nilai kormesial dan hutan sekunder yang berusia lebih dari 20 tahun.

Menurut beliau, semua sampel dan spesimen yang diperolehi semasa ekspedisi akan dibawa ke pejabat di Kuching untuk tindakan dan kajian yang selanjutnya.

“Selain membuat penyelidikan berkaitan tumbuhan dan reptilia, para penyelidik juga turut mengkaji jenis tanah dan hidrologi di Banjaran Kelingkang.

“Pada masa ini tidak banyak maklumat didokumentasikan dari Banjaran Kelingkang,”katanya.

Dalam ucapan yang sama, Runi berharap penduduk di sekitar Selepong agar sentiasa menjaga hutan di Banjaran Kelingkang kerana ia adalah sumber air yang bersih yang menjadi kegunaan harian penduduk sekitar.

Tambah beliau, menjaga hutan adalah tanggungjawab bersama kerana keindahan hutan yang terpelihara yang mempunyai sumber air bersih akan membolehkan Banjaran Kelingkang dikenali sebagai tempat eko-perlancongan yang menarik.

Sumber air yang jernih dan bersih ditemui di Banjaran Kelingkang.

Menurutnya lagi, ekspedisi tidak berakhir disini sahaja kerana beberapa aktiviti susulan dirancang dimasa akan datang.

Ekspedisi Saintifik Banjaran Kelingkang 2019 diadakan bermula April 1-13, 2019 dan melibatkan 45 orang penyelidik dari Bahagian Penyelidikan,Pembangunan dan Inovasi JHS disamping dibantu oleh 11 orang penduduk tempatan.

Semasa majlis penutupan tersebut, turut dibentangkan hasil penyelidikan setiap kumpulan sepanjang ekspedisi yang terdiri daripada kumpulan yang membuat kajian berkaitan dengan Entomologi, Botani, Konservasi, Tanah, Mikologi dan Hidrologi.

Majlis penutupan tersebut turut dihadiri oleh penduduk kampung dan tuai-tuai rumah dari sekitar Selepong dan kakitangan JHS. — DayakDaily